.....Mari Kita Solat.....
Monday, May 10, 2010
* Cerita penuh hikmah *
Cerita 1: InsyaAllah, engkau akan sembuh
Pada suatu ketika seorang lelaki datang menemui ulama bernama Sofyan. Selain arif dalam bidang agama.Sofyan juga bijak dalam bidang perubatan.
"Wahai Sofyan, aku menderita penyakit jauh daripada Allah. Tolonglah berikan aku ubat penyembuhnya,"rayu lelaki tersebut.
Balas Sofyan,"Wahai saudaraku, hendaklah kau mengambil beberapa biji buah keikhlasan, daun-daun kesabaran dan perahan kesabaran hati. Letakkan semuanya itu dalam wadah ketakwaan, lalu kau tuangkannya ke dalam cairan rasa takut, kemudian adunkan ia dengan api kesedihan.
"Setelah itu, kau saringlah ia dengan saringan kewaspadaan dan ambil ramuan itu dengan tangan kejujuran, lalu minumlah daripada gelas istighfar yang telah dicampurkan dengan air kesolehan. Sesudah itu jauhkanlah dirimu daripada rakus dan serakah, insya-Allah engkau akan sembuh dari penyakitmu itu."
Cerita 2: Cuba teka, berapa berat gelas ini?
Suatu pagi, seorang guru berdiri di hadapan kelas sambil mengangkat segelas air. Dia bertanya kepada murid-muridnya; "Cuba kamu teka, berapa berat gelas ini?"
Jawab murid yang duduk di hadapan kelas: "50 gram, cikgu!"
Guru tersebut tersenyum. "Yang lain?" sooalnya.
"Saya rasa mungkin 100 gram," jawab seorang pelajar perempuan.
Bangun pula seorang pelajar lelaki di tengah-tengah kelas, "Jawapannyan mesti antara 50 hingga 500 gram.
Siapakah yang berjaya memberi jawapan yang betul? Adakah berat gelas itu 200 gram? 300 gram? 410 gram? atau 100 gram?
Jawab gurunya, "Jawapan kamu mungkin betul dan mungkin juga salah!
Sebenarnya, berat segelas air ini tidak begitu penting sebab ianya bergantung kepada berapa lama kamu memegangnya.
"Jika kamu pegang gelas ini satu minit, tak jadi masalah. Kalau satu jam, tangan kamu akan sakit. Sehari! Kamu perlu diusung ke ambulans." Ketawa murid-muridnya mendengar kata- kata guru itu.
Sambung guru tersebut; "Murid-murid sekalian... berat segelas air ini takkan berubah tapi semakin lama kamu memegangnya, ia akan menjadi semakin berat.Apa yang patut kamu lakukan ialah letakkan gelas itu ke bawah, rehat beberapa minit dan sambungnya kembali.
"Begitu juga dengan kehidupan seharian kita. Jika kita ada masalah, selesaikannya secepat mungkin. Kalau kita masih gagal menyelesaikannya, rehat sebentar. Lupakan masalah itu untuk seketika.
"Jangan terlalu memikirkannya kerana ia akan menyebabkan fikiran kita tidak tenang dan terganggu. Ketenangan amat penting sebelum kita memikirkan masalah itu kembali."
Cerita 3: Pesan Lukmanul Hakim kepada anak-anaknya
Suatu ketika, Lukmanul Hakim telah berpesan kepada anak-anaknya. Kata sahabat Nabi yang alim dan bijak berfalsafah itu..
1. Wahai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam. Jika engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakal kepada Allah.
2. Wahai anakku, orang yang berasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat serta taat kepada Allah, maka dia itu orang yang tawaduk, lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat.
3. Wahai anakku, seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahmya ibu-bapamu itu adalah bagaikan baja untuk tanam-tanaman.
4. Wahai anakku, ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya itu lebih mudah daripada mengajar orang yang tidak mahu diajar.
5. Wahai anakku, apabila engkau mempunyai dua pilihan, menziarahi orang mati atau hadir ke majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati kerana ia akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi semata-mata.
6. Wahai anakku, janganlah engkau menelan sahaja kerana manisnya sesuatu makanan dan janganlah memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu makanan itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit belu tentu menimbulkan kesengsaraan.
7. Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana engkau selalu mencari illmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya, kerana ia tidak ubah seperti orang yang mencari kayu bakar, tetapi setelah banyak, dia tidak mampu memukulnya, padahal dia masih mahu menambahkannya.
8. Wahai anakku, bila mana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkanmu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Jika tidak demikian, maka berhati-hatilah.
9. Wahai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
10. Wahai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata-kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya, bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
11. Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya, janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.
-posted by http://cerita-menarik-blog.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Cerita yg baik.......
ReplyDeletetq...
ReplyDelete