“Jika bersedekah, niatkan atas nama dan bagi pihak isterimu. Bantulah mereka dengan pahala sedekah kerana ramai para isteri yang akan menjadi penghuni neraka!”
Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang ustaz sewaktu memberi kuliah di sebuah masjid di Putrajaya baru-baru ini. Sele¬pas itu beliau terus membacakan hadis yang menjadi sandaran hujahnya itu dengan begitu lancar dan fasih.
Pada hari esoknya, saya menyemak hadis itu dengan bantuan seseorang yang sangat saya hormati kepakarannya. Beliau dengan segera memberikan nombor rujukan hadis itu dan sumbernya. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. katanya: “Suatu ketika Rasulullah s.a.w. keluar pada Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri menuju ke tempat solat dan melalui sekumpulan wanita. Beliau bersabda: ‘Wahai kaum wanita bersedekahlah. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan bahawa kalian adalah majoriti penghuni neraka.’
“Salah seorang wanita yang fasih dan bijak bertanya: ‘Mengapa wahai Rasulullah?’ Beliau menjawab: ‘Kalian banyak melaknat dan durhaka terhadap suami. Dan tidaklah aku menyaksikan orang yang memiliki ke¬kurangan akal dan agama yang dapat meng¬hilangkan akal kaum lelaki yang setia daripada salah seorang antara kalian.’
“Mereka bertanya lagi: ‘Apa yang dimaksudkan dengan kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?’
“Baginda menjawab: ‘Bukankah kesaksian seorang wanita sama dengan separuh daripada kesaksian seorang lelaki?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata lagi: ‘Bukankah apabila wanita mengalami haid maka dia tidak melakukan solat dan puasa?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata: ‘Itulah (bukti) kekurangan agama¬nya.’” (Riwayat al-Bukhari no. 298)
Oleh sebab itu, setiap suami yang men¬cintai isterinya pasti berasa bimbang de¬ngan amaran dan peringatan daripada hadis ini. Betapa tidak, tegakah kita melihat isteri yang tersayang terhumban ke dalam neraka hanya kerana lidahnya yang memaki hamun dan hatinya yang tidak bersyukur? Cakap suami dilawannya, dibentak dengan suara yang tinggi. Mulutnya begitu berbisa, tajam dan menyakitkan.
Isteri yang sedemikian perlukan bantuan. Dia sedang “sakit”. Tetapi bukan mudah membantu orang sakit yang sentiasa berasa dirinya benar dan sihat. Silap pendekatan, dia jadi semakin menyinga. Isteri begini terlupa bahawa selagi suami tidak menyuruh kepada yang haram dia wajib taat. Dia terlupa membesarkan pemberian suami yang kecil. Dia sudah tidak ingatkan lagi bahawa jalannya menuju ke syurga adalah melalui pintu gerbang ketaatannya kepada suami. Malu, taat, setia dan khidmatnya hanya untuk manusia bernama suami.
Kepenatan menguruskan rumah tangga bukan alasan untuk meninggalkan perkara-perkara asas yang menjadi teras kerukunan rumah tangga. Begitu juga jika dilihatnya ada kelemahan dan kekurangan pada diri suami… Itu tidak boleh dijadikan sebab untuk melawan dan memberontak. Selagi tidak menyalahi aqidah dan syariat, maka selagi itulah isteri wajib patuh.
Belajarlah daripada Asiyah isteri kepada Firaun laknatullah. Walaupun suaminya sejahat-jahat manusia tetapi dia masih mampu menjadi isteri yang solehah hasil ketaatan dan kebaikan yang dicurahkan kepada suaminya. Kecuali menyembah tuhan selain Allah, itu sahaja yang tidak dituruti oleh Asiyah. Segala suruhan Firaun yang selain itu dilaksanakannya dengan sepenuh hati. Ertinya, beliau terus melaksanakan perintah yang baik walaupun datangnya daripada seorang yang jahat.
Para isteri harus sedar bahawa mereka tidaklah sebaik Asiyah dan suami mereka tidaklah sejahat Firaun. Hanya kadangkala suami terlupa, sedikit berang kerana keletihan, menjadi penyengap kerana ada sesuatu yang dirisaukan, tidak senyum kerana masalah di luar rumah, maka si isteri jadi pemarah, pendendam dan peleter yang tidak mengenal maaf.
Lunak Berbahasa
Ingatlah bahasa yang baik datang dari orang yang baik. Tetapi jika bahasa kasar, kesat dan kotor itu petanda jiwa yang kotor. Bahasa dan kata sangat besar kesannya dalam hidup berumah tangga. Diceritakan dalam kitab-kitab tradisional bahawa bahasa si isteri apabila berkomunikasi dengan suaminya hendaklah menggunakan bahasa yang baik. Masih ingat apa pesanan Allah kepada Nabi Musa a.s. ketika baginda diperintahkan bertemu dengan firaun?
Firman Allah yang bermaksud: “Dan berkata-katalah kepadanya (firaun) dengan lembut dan baik. Semoga dia mendapat peringatan.” (Surah Taha 20: 44)
Hanya dengan bahasa yang lembut, intonasi yang lunak dan adab yang sopan, hati suami akan “cair” dan kasih. Sebaliknya, kata-kata yang kasar dan intonasi yang tinggi akan ditolak secara terang-terangan atau secara diam-diam walaupun isi¬nya kebenaran dan kebaikan.
Allah mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu kasar dan keras nescaya orang akan lari dari kamu.” (Surah Ali ‘Imran 3: 159)
Menurut kajian, sikap cerewet adalah salah satu punca yang menyebabkan rumah tangga tidak bahagia. Isteri yang cerewet hanya nampak yang cacat, busuk, kurang, pahit dan yang hal-hal yang negatif sahaja. Sedikit tersilap, boleh menjadi punca ke¬marahan yang berjela-jela dan sukar direda¬kan. Ada sahaja yang tidak kena kerana dia memang mencari yang “tidak kena”. Dia sering berjaya mencari “nila yang setitik” untuk merosakkan susu yang sebelanga.
Tindakan suka melaknat dan tidak mem¬besarkan pemberian suami ialah penyebab utama kebinasaan kaum wanita. Namun itu bukan bererti suami harus berlepas tangan dan berasa selamat dengan autoriti serta haknya sebagai suami. Si suami harus ingat jika isteri berterusan dalam keadaan begitu dia juga tidak selamat. Mengapa? Dia wajib mendidik dan menyelamatkannya. Isteri yang baik akan lebih mudah masuk ke dalam syurga sekalipun suaminya jahat, tetapi suami yang baik sangat sukar masuk ke syurga jika isterinya jahat.
Selamatkan Isterimu
Di bahu para suamilah letaknya tanggungjawab menyelamatkan isteri yang suka melaknat dan tidak bersyukur itu. Se¬lain istiqamah mendidik dan memberi peringatan, si suami harus tidak jemu-jemu mendoakan isteri yang sebegitu. Dan yang paling penting bantulah mereka agar sering bersedekah dan bersedekahlah bagi pihak mereka. Jangan hanya mengeluh dan me¬mendam rasa tetapi berusahalah memperbaiki keadaan dengan tindakan-tindakan yang lebih konstruktif dan produktif.
Bagi suami yang pemberang pula ingat, jangan lawan api dengan api… nanti rumah tangga terbakar dan cinta akan terpadam. Tidak semua leteran kerana kebencian, tetapi kekadang lebih kepada luahan. Justeru bersabarlah pada sesetengah leteran yang hakikatnya hanya satu rintihan dan pengaduan.
Contohi Sayidina Umar al-Khattab yang rela “menelinga” dan berdiam diri dengan leteran isterinya lantaran menghargai ke¬susahan isterinya yang keletihan mengurus¬kan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Padahal Umar di luar rumah bukan sahaja digeruni oleh musuh-musuh¬nya, bahkan syaitan sekalipun tidak akan lalu di tem¬pat dia lalu! Sebagai suami, Umar sedar bahawa bukan semua leteran itu satu kebejatan tetapi banyak antaranya hanya satu luahan cinta daripada kekasih yang keletihan!
Jadi didiklah para isteri agar selalu dan sering bersedekah. Bersedekah itu bukan sahaja dengan harta tetapi dengan tenaga, meluangkan masa dan tenaga ataupun sekadar memberi senyuman. Itu ialah saranan daripada Rasulullah s.a.w. sendiri untuk tidak tergolong dalam gerombolan majoriti wanita yang akan dihumban ke neraka. Carilah ruang dan peluang untuk memberi sedekah kepada anak-anak, suami, jiran tetangga, kaum kerabat, mentua, saudara dan lain-lain anggota masyarakat.
Dalam sejarah hidup wanita-wanita solehah kita akan lihat bagaimana mereka sangat melazimi cara hidup yang mudah bersedekah ini. Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Zainab dan lain-lain Umahat al-Mukminin ialah wanita yang terkenal banyak bersedekah. Ini adalah satu lagi isyarat untuk wanita-wanita selepas generasi mereka dan khususnya generasi kini agar bersedekah untuk menyelamatkan ketelanjuran lidah yang berbisa dan hati yang tidak membesarkan jasa.
Bersedekahlah kerana cinta. Si isteri bersedekah kerana cintanya kepada diri sendiri yang sentiasa terdedah kepada kejahatan lidah dan hati. Si suami bersedekah kerana cintakan isteri agar terselamat daripada neraka. Insya-Allah, Allah akan “menyedekahkan” mereka berdua dengan cinta-Nya. Dan dengan sedekah cinta itu mereka akan bercinta hingga ke syurga!
Bila Isteri “Mengamuk”
Kekadang isteri mengamuk
Dengan ombak prasangka dan lautan cemburu
Apa bukti setiamu suami?
Atau apakah kau sedang berkira-kira
hendak “mendua”, “mentiga” dan “mengempatkan”ku?
Kekadang disergahnya suami
Ketika keringat masih membasah
Baru melangkah masuk pintu rumah
Ketika itu muhasabahlah diri
Mungkin suami berdosa dengan Tuhan,
atau bersalah dengan insan
Mungkin banyak penzaliman dan penganiayaan yang telah dilakukan
Lalu datang “serangan” itu sebagai peringatan
Suami,
Hadapkanlah diri ke cermin hati
Kaji dirimu satu persatu
Kalau liar, berhentilah
Kalau berdosa, bertaubatlah.
Jangan berkira-kira hendak “berdua”
kalau yang satu itu pun tak mampu dijaga
Jangan kemampuan harta dan fizikal sahaja diperhitungkan…
Tetapi mampukah meratakan keadilan
memimpin penuh kasih sayang?
Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
Nasihatkanlah dia baik-baik
Ingatlah mestika kata dalam kitab-kitab tua
suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
akan mendapat pahala Nabi Ayyub.
Atau ingatlah pesan Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami
yang dileteri isteri:
“Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri
telah banyak membantu kita
Dia yang menyelamatkan kita
daripada amukan nafsu
Dia yang membantu menjaga anak-anak kita
Dia yang membantu menjaga
makan minum kita
Dia yang mencuci kain-baju kita
Dia yang membantu membersihkan
rumah kita…
Lalu apa salahnya kita bersabar dengan kerenah mereka?”
Taburkanlah segenggam salji
pada secubit api
Insya-Allah,
cinta itu akan semarak kembali!
Kekadang isteri mengamuk
Dengan ombak prasangka dan lautan cemburu
Apa bukti setiamu suami?
Atau apakah kau sedang berkira-kira
hendak “mendua”, “mentiga” dan “mengempatkan”ku?
Kekadang disergahnya suami
Ketika keringat masih membasah
Baru melangkah masuk pintu rumah
Ketika itu muhasabahlah diri
Mungkin suami berdosa dengan Tuhan,
atau bersalah dengan insan
Mungkin banyak penzaliman dan penganiayaan yang telah dilakukan
Lalu datang “serangan” itu sebagai peringatan
Suami,
Hadapkanlah diri ke cermin hati
Kaji dirimu satu persatu
Kalau liar, berhentilah
Kalau berdosa, bertaubatlah.
Jangan berkira-kira hendak “berdua”
kalau yang satu itu pun tak mampu dijaga
Jangan kemampuan harta dan fizikal sahaja diperhitungkan…
Tetapi mampukah meratakan keadilan
memimpin penuh kasih sayang?
Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
Nasihatkanlah dia baik-baik
Ingatlah mestika kata dalam kitab-kitab tua
suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
akan mendapat pahala Nabi Ayyub.
Atau ingatlah pesan Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami
yang dileteri isteri:
“Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri
telah banyak membantu kita
Dia yang menyelamatkan kita
daripada amukan nafsu
Dia yang membantu menjaga anak-anak kita
Dia yang membantu menjaga
makan minum kita
Dia yang mencuci kain-baju kita
Dia yang membantu membersihkan
rumah kita…
Lalu apa salahnya kita bersabar dengan kerenah mereka?”
Taburkanlah segenggam salji
pada secubit api
Insya-Allah,
cinta itu akan semarak kembali!
sumber: http://genta-rasa.com
No comments:
Post a Comment