.....Mari Kita Solat.....
Monday, August 9, 2010
~* Puasa walau Gastrik *~
TIDAK boleh puasa kerana gastrik? Carilah idea lain, janganlah lagi menggunakan alasan lapuk ini kerana kajian membuktikan orang yang mengalami gastrik sebenarnya boleh berpuasa tanpa masalah.
Malah jika berbuka mengikut konsep 3-S iaitu sederhana, seimbang dan sihat, ibadat berpuasa tentu dapat dilaksanakan dengan baik.
Sakit, senak atau perut rasa tidak selesa ketika berpuasa atau sejurus selepas berbuka bukan kerana gastrik, sebaliknya disebabkan tabiat makan dan jenis makanan yang mengisi pinggan. Perut tentu meragam jika anda makan terlalu banyak, apatah lagi jika makanan itu pula jenis sukar dihadam.
Amalan berbuka yang disarankan Islam iaitu bersederhana dan makan secara berperingkat serta melambat-lambatkan bersahur boleh membantu pesakit gastrik melalui Ramadan dengan lebih baik dan selesa, kata Perunding Pembedahan Gastrointestin Pusat Perubatan Tropicana, Dr Kwan Keat Leong.
Gastrik antara masalah sangat lazim dan secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu gastritis (keradangan lapisan mukosa yang melapik dinding perut) dan ulser perut atau peptik pada lapisan sel yang lebih dalam (lebih teruk berbanding gastritis).
Biasanya apabila orang berkata mereka ada masalah gastrik, ia merujuk kepada keadaan pertama (gastritis).
Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH 1 hingga pH 2) yang berfungsi mencerna makanan. Asid ini kuat dan jika terkena tangan, kulit akan terkakis. Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik.
Pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah). Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.
Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya jika sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa yang sudah lemah.
Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut. Antara tandanya ialah:
-Sakit perut (pada bahagian atas perut atau abdomen)
-Rasa senak, berangin atau pedih
-Rasa tidak selesa
-Kembung, sendawa berulang kali dan kerap kentut selepas makan
-Rasa mual (loya) dan muntah
-Hilang selera makan
-Berat badan turun (pada peringkat teruk)
Jika sampai peringkat teruk, ulser perut menyebabkan pendarahan dan ia boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu:
-Najis menjadi hitam seperti tar
-Muntah mengandungi darah atau berwarna gelap seperti kopi
Siapa yang berisiko?
Gastrik adalah masalah sangat lazim dan boleh berlaku pada sesiapa saja. Secara umumnya lebih ramai lelaki mengalami masalah gastrik dengan nisbah 1.5 hingga dua kali ganda berbanding wanita. Ia biasanya disebabkan gaya hidup dan faktor risiko seperti:
Individu yang kerap mengambil ubat tahan sakit dalam tempoh lama seperti ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID). Ini termasuk aspirin (yang diambil pesakit jantung untuk mencairkan darah)
Tempoh pengambilan ubat yang membolehkan seseorang mengalami gastrik berbeza antara individu kerana bagi orang yang sensitif, pengambilan selama beberapa minggu boleh menyebabkan masalah ini
Merokok dan banyak minum minuman keras. Asap rokok dan alkohol boleh memberi kesan negatif dan mencederakan lapisan pertahanan (lapisan mukosa)
Jangkitan bakteria Helikobakter pilori (H pilori). Bakteria ini berupaya melemahkan lapisan mukosa melalui dua cara iaitu:
a. Bakteria H pilori menghasilkan enzim urase yang memecah atau menguraikan urea kepada ammonia. Ammonia ini bahan toksik yang boleh menjejaskan lapisan mukosa. Kehadiran banyak ammonia melemahkan lapisan pertahanan yang menyebabkan asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan mengakibatkan keradangan
b. Bakteria H pilori mempunyai bentuk berpilin (berlingkar). Jadi ia boleh membuat lubang pada lapisan mukosa (seperti lubang cacing) yang akhirnya melemahkan lapisan pertahanan ini
Tekanan. Individu yang banyak mengalami tekanan sama ada tekanan kerja, peribadi, sosial atau mendapat jangkitan kuman yang teruk juga lebih berisiko diserang masalah gastrik.
Malah masalah gastrik juga kerap dikesan pada pesakit yang baru menjalani pembedahan besar kerana pembedahan juga adalah satu bentuk tekanan kepada badan.
Individu yang suka mengambil ubat tradisional, terutama yang mengandungi akar kayu. Ia termasuk ubat tradisional Cina dan Melayu kerana kebanyakan ubat tradisional dicampur steroid supaya ia lebih berkesan dan mujarab.
Bolehkah pesakit gastrik berpuasa?
Tidak ada masalah. Pesakit gastrik, khususnya mereka yang mengalami gastritis, sepatutnya tiada masalah untuk berpuasa, kata Dr Kwan.
Menurutnya, anggapan ramai serangan gastrik lebih kerap berlaku pada Ramadan sebenarnya kurang tepat. Kebanyakan percaya apabila berpuasa, tahap keasidan dalam perut akan bertambah.
Ketika berpuasa, keseluruhan sistem penghadaman direhatkan dan ini bermakna rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun. Jadi seharusnya tidak timbul masalah sakit atau senak akibat keasidan perut yang tinggi.
Namun yang berlaku adalah sebaliknya kerana ramai mengadu sakit perut sewaktu berpuasa. Dr Kwan berkata, masalah ini sebenarnya disebabkan tabiat makan seseorang ketika berbuka.
Pesakit seharusnya makan sedikit demi sedikit secara berperingkat-peringkat apabila berbuka supaya perut yang sehari berehat tidak terkejut.
Saranan berbuka dengan kurma, sedikit kuih muih atau buah-buahan sebagai permulaan dan berehat seketika dengan bersembahyang sangat baik kerana ia memberi peluang perut untuk bersedia menerima lebih banyak makanan.
Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai makan makanan berat sebaik berbuka dan ini membuatkan berlakunya masalah ketidakhadaman.
Apatah lagi makanan berbuka ini biasanya makanan yang sangat kompleks seperti masakan kari, berempah atau berlemak boleh menyebabkan proses penghadaman tidak dapat berjalan lancar. Ini sebabnya pesakit berasa sakit perut selepas berbuka.
Apabila memilih makanan, selalu ingat untuk mengamalkan pemakanan sihat. Jangan rambang mata melihat puluhan jenis makanan yang dihidangkan di bufet (jika berbuka di restoran atau hotel) mahupun ketika membeli juadah di bazar Ramadan. Anda ada 30 hari untuk mencuba semua makanan itu.
Memang ketika lapar semua makanan nampak sedap, tetapi sentiasa ingat untuk bersederhana dan jangan terlalu mengikut nafsu. Ada juga kemungkinan sakit perut ketika berpuasa.
Biasanya ini disebabkan pesakit tidak bersahur atau bersahur terlalu awal iaitu sebelum tidur. Bagi orang yang ada masalah gastrik, mereka perlu makan pada waktu sahur supaya tidak timbul masalah sakit perut ketika berpuasa, kata Dr Kwan.
Menurutnya, masalah perut berasa tidak selesa pada minggu pertama Ramadan adalah perkara biasa kerana perut memerlukan masa untuk mengadaptasi dengan keadaan baru itu (tidak menerima makanan sepanjang hari).
Ini sebabnya bagi individu yang ada gastrik, mereka tiada alasan untuk tidak berpuasa kalau mengikut saranan doktor atau yang dianjurkan agama.
Selagi mereka mengamalkan corak pemakanan 3-S iaitu sederhana, seimbang dan sihat, pesakit gastrik boleh menjalankan ibadat puasa tanpa rasa sakit, katanya.
Bagaimanapun bagi pesakit yang mengalami ulser perut sehingga berlaku pendarahan, terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing. Mereka boleh berpuasa tetapi jika gejala sakit menyerang, disaran berbuka dan berehat daripada puasa selama satu atau dua hari hingga gejala hilang. Namun perlu diingat, walaupun mengalami ulser berdarah pesakit masih boleh berpuasa dengan mengambil ubat pada waktu sahur dan berbuka.
Rawatan
Dr Kwan berkata, individu yang ada masalah gastrik, terutama ulser perut, sepatutnya berjumpa doktor empat hingga enam minggu sebelum menjelang Ramadan. Individu yang mengalami masalah gastrik akibat gastritis, perlu mengambil ubat dua kali sehari selama dua minggu manakala bagi kes ulser perut, tempoh pengambilan ubat adalah antara empat hingga enam minggu.
Namun masalah yang kerap ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.
Mengapa perlu menghabiskan ubat? Ubat diberi sebenarnya membantu memulihkan lapisan pertahanan dalam perut dan ia mengambil masa dua minggu untuk kembali normal. Memberhentikan pengambilan ubat selepas tiga atau empat hari bermakna anda sengaja mengundang gastrik untuk datang balik.
Malah lebih baik jika pesakit jalani pemeriksaan teropong perut (endoskopi) untuk mengetahui tahap masalah dan melihat sama ada pesakit mengalami jangkitan bakteria H pilori bagi menentukan jenis ubat yang sesuai.
Ada tiga jenis ubat untuk gastrik iaitu:
Antasid bertindak memperbaiki dan memberi lapisan tambahan kepada lapisan pertahanan (mukosa) yang diambil tiga kali sehari.
Antagonis H2 berfungsi mengurangkan rembesan asid. Ubat antasid dan antagonis H2 diberi untuk gastritis.
Perencat pam proton (PPI) bertujuan mengurangkan rembesan asid dengan lebih berkesan; biasanya diberi kepada pesakit yang alami gastritis teruk atau ulser perut.
Selain pengambilan ubat, pesakit perlu menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup bagi mengelak serangan gastrik berulang. Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah:
-Berhenti merokok dan minum minuman beralkohol
-Hentikan pengambilan ubat tahan sakit
-Amalkan pemakanan sihat dan makan secara teratur (sarapan, makan tengah hari dan malam). -Pada bulan puasa, kena bangun sahur dan sebaiknya melewat-lewatkan bersahur
-Makan sedikit-sedikit tetapi kerap
-Kurangkan makanan berempah, bercili, masam
-Kurangkan minuman mengandungi kafein (kopi, teh dan minuman berkarbonat)
-Ambil susu kerana sifat susu yang beralkali boleh mengurangkan keasidan perut
-Kurangkan pengambilan makanan yang disifatkan berangin. Jenis makanan ini berbeza antara individu dan ubah suai mengikut keperluan masing-masing
Panduan pemakanan
-Segerakan berbuka dan mulakan berbuka dengan makanan yang ringan seperti kurma, air kosong, buah-buahan atau sup rendah lemak. Elak mengambil air manis atau kuih-kuih manis.
-Ambil lauk atau juadah rendah lemak, kurang pedas atau berempah.
-Elak minum minuman berkafein ketika berbuka. Bagaimanapun kopi atau teh oleh diambil selepas solat terawih; bukan ketika berbuka.
-Makan secara sederhana, secukupnya dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sebaik-baiknya, berhenti makan sebelum kenyang.
http://berita-harian-online.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment