Dari aspek botani, buah adalah hasil daripada tumbesaran akhiran bunga angiosperma atau jambak bunga. Definisi atau takrifan ahli botani ini merangkumi buah-buahan berisi yang wujud dari bahagian ovari bunga seperti reseptaker atau daripada penyangga (buah epal, strawberi ), brektia atau daun pelindung dan daun pedunkel (nenas). Walaupun begitu majoriti masyarakat dewasa ini mengenali buah hanya sebagai pembasuh mulut selepas menikmati pelbagai jenis hidangan yang enak.
Disebalik rasanya yang enak, buah-buahan sebenarnya mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan. Ia diperkaya dengan zat galian yang mempunyai nilai perubatan dan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit. Namun tidak ramai yang menyedari hal ini melainkanmasyarakat luar bandar terutamanya golangan tua. Ini kerana masyarakat desa kurang terdedah dengan perubatan moden dan masih lagi kuat mempercayai perubatan tradisional yang diamalkan sejak turun temurun.
1. Delima Hilangkan Masalah Cacing
Delima, sejenis buah berasal dari kawasan Mediterranean, banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Kulit buah delima mengandungi asid tannin yang amat berkesan untuk menghapuskan masalah cacing di kalangan kanak-kanak, termasuk cacing gelang, cacing peniti dan cacing kerawit. Selain daripada asid tannin, delima yang dikenali sebagai Punica granatum dari segi saintifik, juga mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, magnesium, vitamin A dan vitamin C. Zat besi yang terdapat dalam buah delima dianggap sebagai unsur penting dalam pembentukan darah merah. Seseorang yang kekurangan zat besi akan mengalami penyakit anemia.
Buah delima juga boleh memperbaiki usus-usus dan menguatkannya, membersihkan bahagian dalam tekak serta sesuai untuk mereka yang mengalami masalah batuk. Ia berkesan untuk meredakan cirit-birit yang kronik, termasuk cirit-birit berdarah dan enteritis atau bengkakusus. Walaupun begitu buah delima masam juga boleh mencegah dari muntah, menghentikan cirit-birit dan melawaskan air kencing.Ini kerana buah delima mengandungi bahan pengcengkam yang mampu memegang dinding saluran perut.
Di beberapa kawasan di Iran dan di Iraq, air buah delima digunakan sebagai ubat kumur untuk mengatasi masalah penafasan berbau. Buasir merupakan satu lagi penyakit yang boleh dirawati menggunakan buah delima kerana airnya dapat bertindak sebagai astringen. Ia juga dipercayai berkesan untuk mengatasi kemandulan.
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa biji delima dapat dijadikan ubat luka-luka yang teruk dan kebenjolan, caranya dengan mengambil biji-biji delima di tumbuk dan dicampurkan dengan sedikit madu dan disapukan pada bahagian luka.
2. Kurma Hindar Gangguan Usus
Kurma adalah sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan juga niasin. Kurma yang dikenali sebagai Phoenix dactylifera L. dari segi saintifik amat berkesan bagi mengubati gangguan usus yang kronik, di mana ketidakserasian dengan gluten, sejenis protein yang terkandung di dalam bijirin menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Ia mengandungi sejenis bahan protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa yang dihasilkan oleh gluten dalam usus kecil. Tindak balas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara berlebihan. Bagi mengubati penyakit ini bijinya dibuang kemudian dibersihkan sebelum diadun halus dengan setengah gelas air dan lebih mujarab jika dicampur dengan jus lobak merah.
Selain daripada gangguan usus, jus kurma berkesan untuk mengatasi masalah sembelit. Bagaimanapun minuman ini tidak sesuai di amalkan oleh mereka yang mengidap penyakit diabetis, kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih serius.
Jus kurma juga berkesan untuk mengatasi masalah batuk. Kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong dan sekali gus menghilangkan batuk. Kurma juga boleh digunakan bagi menggantikan gula atau madu untuk tujuan menghilangkan kesan mabuk dan bertindak sebagai penawar racun.
Jus kurma juga merupakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia. Bagi mereka yang mengalami masalah batuk jus kurma sesuai untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong sekaligus menghentikan batuk.
Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang banyak kerana telah terbukti, di dalam Al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma.
Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.
Firman Allah:
Maksud: "Dan gegarlah kearahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan."
Rasulullah juga pernah bersabda mengenai hal ini ,sabdanya: "Beri makan buah tamar kepada isteri-isteri kamu yang hamil dan barang siapa yang memakan buah tamar tersebut semasa hamilnya, maka anak yang akan lahir itu akan menjadi seorang anak yang penyabar dan bersopan-santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa AS adalah buah tamar."
Sekiranya Allah ada menjadikan sesuatu buah yang lebih baik daripada tamar sudah tentu Allah telah memberikan (kepada Siti Maryam)
Berdasarkan pada ayat-ayat Al-Quran dan hadith Rasul, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian dari segi perubatan, fiqhiyah dan perundangan, hasil kajian menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran,memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurmajuga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Kajian menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan. Disamping menambahkan tenaga seksual, kurma juga boleh digunakan sebagai pencuci mulut.
Mengikut hasil kajian Ahli Sains Mesir telah terbukti khasiat kurma dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda dan membantu tumbesaran kanak-kanak. Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah dan menghindari dari penyakit barah, merawat buah pinggang dan mencuci hati, dan membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran.
3. Pisang Merawat Kudis dan Luka
Pisang atau nama saintifiknya Musa sapientum adalah antara buah-buahan tempatanyang digemari ramai. Ia kaya dengan vitamin A dan C, niasin dan juga zat galian seperti kalsium fosforus dan besi. Pisang juga mengandungi kromium, sejenis bahan yang merangsangkan aktiviti enzim dalam metabolisme glukos yang penting untuk membekalkan tenaga. Dalam perubatan tradisional, getah pisang merupakan ubat yang mujarab untuk menyembuhkan luka. Dengan menyapukan getah pisang pada luka, darah akan berhenti mengalir dan lukanya akan cepat kering. Kudis pula boleh dirawat dengan mudah menggunakan kulit pisang. Selain itupisang juga digunakan untuk mengatasi masalah sembelit, ulser dan penyakit gastritis atau radang perut.
4. Mangga Penawar Penyakit Hernia
Mangga yang dikenali sebagai Mangifera indica yang berasal dari keluargaAnacardiaceae, digunakan sebagai agen penghilang dahaga untuk mengatasi masalah penyahidratan dalam tubuh serta berkesan untuk menyembuhkan penyakit hernia. Hernia atau burut iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan isi perut turun ke bawah dan kantung kemaluan menjadi bengkak, ulu hati terasa pedih dan sakit setiap kali selepas makan, boleh dirawat dengan mengamalkan pengambilan jus mangga. Minuman itu, yang kaya dengan pelbagai zat galian termasuk vitamin A dan C akan bertindak melancarkan peredaran darah. Memandangkan jus mangga mempunyai kandungan gula yang tinggi, ia kurang sesuai untuk mereka yang mengalami penyakit diabetis, hipoglisemia dan kandidiasis atau jangkitan kulat.
5. Nenas Penawar Penyakit Batu Karang
Nanas sejenis buah tropika yang dikenali dengan nama saintifiknya Ananas cosomos berasal dari keluarga Bromeliaceae dan mengandungi kandungam gula yang tinggi serta kaya dengan vitamin A, B dan C. Jus nanas merupakan sejenis minuman yang lazat dan baik untuk kesihatan, terutamanya bagi mengatasi kekeringan dibahagian bibir dan kulit muka. Nanas merupakan ramuan penting dalam rawatan tradisional. Ia melancarkan perjalanan haid serta berkesan mengatasi masalah-masalah pencernaan, pundi kencing, cacing dan kelesuan badan. Ia juga merupakan penawar yang penting bagi mengatasi penyakit batu karang. Amalan meminum jus nanas terbukti berkesan untuk mengatasi masalah kencing tidak lawas kerana kandungan enzimnya yang tinggi.
6. Belimbing Merawat Kencing Manis / Darah Tinggi
Belimbing salah satu jenis buahan tropika popular yang enak. Ia boleh dimakan segar ataupun dijadikan jeruk dan dibuat jus. Belimbing ini bagaimanapun ada yang masam, tetapi kedua-duanya dipanggil belimbing besi. Nama sainsnya ialahAverhoa crambola dan sekeluarga dengan oxalidaceae. Belimbing juga mempunyai khasiat perubatan. Pengidap kencing manis dapat menurunkan paras gula dalam darah dan sesuai juga dimakan oleh mereka yang mengidap penyakit tekanan darah tinggi, gingivitis atau radang gusi.
7. Lemon Berkesan Merawat Tonsilitis
Tonsilitis atau penyakit radang tonsil dibahagian kerongkong berpunca daripada serangan kuman bakteria streptokokus. Ia dapat di rawat dengan berkumur menggunakan jus lemon sebelum diminum atau nama saintifiknya Citrus limon. Lemon yang kaya dengan vitamin C serta zat besi, patasium, kalsium dan fosforus berkesan merangsangkan sistem pelalian untuk membunuh kuman streptokokus. Serabut atau bulu-bulu putih yang terdapat di sebelah dalam kulit lemon dan limau-limau sitrus yang lain mengandungi bioflavonoids yang berkhasiat untuk kesihatan. Oleh itu serabut itu perlu dikikis daripada kulit kemudian dicampur dengan isi lemon sebelum dikisar halus. Lemon juga dengan vitamin B kompleksnya juga bertindak membunuh sejenis kuman bakteria dikenali sebagai stafilokokus. Ia turut berkesan untuk menghindarkan penyakit-penyakit kelamin seperti gonorea, sifilis dan klamidia.
8. Pala Melegakan Kembung Perut
Pala sejenis buah tempatan yang bernilai tinggi dalam nilai perubatan. Kulit arinya merupakan bahan utama untuk membuat minyak sapu atau apa yang disebut salap bagi melegakan masalah kembung dan senak perut, sakit kepala, selsema, disengat serangga dan lenguh-lenguh sendi. Ia berasal dari keluarga myristicaceae, yang dikenali dengan nama saintifiknya Myristica fragrans juga merupakan penawar untuk menghilangkan rasa loya, pening-pening atau tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pitam. Ia juga dikatakan boleh merangsangkan nafsu syahwat. Bijinya pula mengandungi sejenis minyak yang berkhasiat yang boleh digunakan sebagai salah satu ramuan untuk membuat minyak panas bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.
9. Pinang dengan Pelbagai khasiat
Tumbuhan ini juga dikenali dengan nama saintifiknya Areca catecu Linn dan berasal dari keluarga Arecaceae. Buah dan biji pinang bernilai tinggi dari segi perubatan. Biji pinang dikunyah bersama-sama daun sirih seperti yang lazimnya diamalkan oleh orang-orang tua sebagai salah satu petua untuk menguatkan gusi serta menghapuskan masalah mulut berbau busuk. Bagaimanapun, amalan memakan terlalu banyak pinang boleh memudaratkan kesihatan. Biji pinang juga mengandungi sejenis bahan yang boleh mencegah barah. Sabutnya pula digunakan oleh masyarakat zaman dulu untuk merawat cirit-birit. Ia juga berkesan untuk mengubati penyakit kulit seperti panau.
10. Pisang Kaki Turunkan Tekanan Darah Tinggi
Pisang kaki sejenis buah yang berkhasiat yang mengandungi vitamin C, glukos, sukros, fruktos dan iodin, bernilai tinggi dari segi perubatan. Ia amat berkhasiat dalam menurunkan tekanan darah tinggi, meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah koronori, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu. Sungguhpun buah ini disebut pisang dan berwarna kuning tetapi bentuk serta isinya tidak menyerupai pisang-pisang biasa yang lain. Buah yang berbentuk bulat, berisi ranggup dan berbiji ini berasal dari keluarga Ebenacea. . Serbuk putih yang terdapat pada permukaan buah pisang kaki yang kering juga manis rasanya dan mengandungi manitol, glukos dan vitamin C amat baik untuk paru-paru dan jantung.
11. Sengkuang Cina Penawar Bronkitis
Bronkitis ialah sejenis penyakit radang tenggorok, iaitu saluran udara di bahagian kerongkong. Penyakit ini menyebabkan selaput pada cabang tenggorok menjadi merah dan bengkak. Dalam dunia perubatan tradisional, sengkuang cina merupakan penawar bagi melegakan penyakit bronkitis yang kronik. Rasanya manis dan menyejukkan serta elok dimakan bagi meredakan demam, selsema dan batuk. Sengkuang cina berasal dari keluarga Cyperacea dan kaya dengan karbohidrat, lemak, protein, vitamin C, kalsium, fosforus dan zat besi. Ia digunakan dalam perubatan tradisional cina untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Caranya dengan menggunakan tiga biji sengkuang cina dicampur dengan lobak putih yang dimesin halus dengan sedikit air dan madu.
12. Ciku Penawar Buang Air Berdarah
Tabiat mengabaikan pemakanan boleh menimbulkan keadaan-keadaan yang tidak menyenangkan. Masalah sembelit boleh terjadi jika makanan yang dimakan tidak dihadam dengan baik, kurang memakan buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurang meminum air. Keadaan ini jika dibiarkan boleh membawa kesan-kesan yang lebih buruk, antaranya buang air berdarah atau buasir. Satu cara dalam kaedah pengubatan tradisional ialah dengan menggunakan buah ciku. Cara yang lebih berkesan untuk merawat buang air berdarah ialah dengan memakan buah ciku yang belum cukup tua, iaitu dengan menumbuk hingga lumat dan dicampur dengan sedikit air panas dan garam. Seelok-eloknya diamalkan sebelum sarapan pagi.
13. Pelbagai Khasiat Tembikai
Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain adalah bermutu tinggi dalam perubatan. Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit. Jus tembikai juga memberi tenaga dan kekuatan dikalangan orang-orang tua serta memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi mereka yang baru sahaja sembuh daripada penyakit atau menjalani pembedahan. Penyakit artritis, gout serta keracunan uremik berlaku akibat kehadiran asid urik yang berlebihan. Jus tembikai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan menghapuskan kesan-kesan toksik dalam tubuh. Kehadiran asid yang berlebihan dalam darah dapat diatasi dengan mengamalkan pengambilan jus tembikai kerana ia dapat bertindak membantu melancarkan pengaliran darah.
14. Avokado Hindar Sengal-sengal Tulang dan Sakit Jantung
Avokado dikenali sebagai Persea americana yang berasal dari keluarga Lauraceaemerupakan makanan berzat dan amat berkesan bagi mengatasi masalah kekurangan zat makanan dan menambah berat badan khususnya dikalangan kanak-kanak. Ia mengadungi protein, zat besi kalsium, vitamin A, vitamin C, niasin, soldium dan potasium. Berasal dari negara beriklim separuh tropika. Sebiji avokado mengandungi kira-kira 300 kalori dengan 88 peratus daripadanya adalah lemak.
Ia berkesan sebagai pelincir semulajadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul, lutut dan pergelangan kaki seterusnya menghindarkan penyaki lenguh-lenguh tulang. Amalan memakan buahavokado pada setiap hari boleh menurunkan paras kolesterol disamping mengekalkan paras lipoprotein, sejenis kolesterol yang baik untuk mnghindarkan seseorang itu daripada diserang sakit jantung. Ia diamalkan di Brazil, Colombia, Equador dan Peru di Amerika Selatan.
15. Betik Selesaikan Sembelit
Betik adalah daripada spesies Carica papaya dan berasal dari keluarga caricaceae. Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C, ia berkesan merawat hemoroid atau buasir dan sembelit. Di Ghana ia juga digunakan untuk mengubati ketumbuhan manakala pucuknya boleh mengubati penyakit tekanan darah tinggi. Betik juga boleh digunakan untuk mengubati tumit pecah-pecah yang boleh menyebabkan kaki terasa sakit. Salah satu daripada rawatan tradisional bagi mengubati masalah ini ialah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu dibahagian tumit yang pecah.
KESIMPULAN
Dengan melihat kepada apa yang telah diperbincangkan, jelas membuktikan kepada kita bahawa, buah-buahan sememangnya mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan. Jadi penyelidikan yang terperinci berkaitan khasiat yang terkandung dalam buah-buahan perlu dipertingkatkan. Ini bukan sahaja penting untuk menyakinkan masyarakat, tetapi juga memandangkan rawatan dengan menggunakan tumbuhan semulajadi termasuk buah-buahan tidak mendatangkan kesan sampingan berbanding rawatan moden yang menggunakan ubatan sintetik yang dihasilkan di dalam makmal.
sumber: taman2 syurga group
No comments:
Post a Comment