Malam tadi di siaran astro 108 (Hindi) ada menayangkan sebuah cerita hindi dengan tajuknya "Tare Zameen Par". Cerita itu mengisahkan seorang kanak-kanak yang mengalami masalah Disleksia. Amat seronok sekali menonton cerita tersebut kerana kita boleh mempelajari sesuatu ttg masalah kanak-kanak walaupun tidak berlaku di dalam keluarga kita. Tetapi sebagai ibu bapa kita harus untuk ambil tahu tebtang masalah Disleksia ini. Kanak-kanak yang mengalami masalah ini memerlukan pemerhatian dan keprihatinan yang lebih oleh ibu bapanya.
APA ITU DISLEKSIA?
Disleksia berasal dari perkataan Yunani iaitu "DYN" bermakna susah, dan "LEXIA" bermakna tulisan. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu dyslexia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.
Mereka yang mempunyai Disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, dan ada yang sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang dengan disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan orang lain dengan disleksia.
Masalah Disleksia adalah berbeza dengan Afasia, yang merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh kerosakan saraf otak, dengan itu akan melumpuhkan kebolehan seseorang untuk berkomunikasi.
Perkataan disleksia diambil daripada istilah Yunani, dys yang bermaksud 'sulit dalam...' dan lex (diambil daripada legein) yang bermakna 'bercakap'. Secara kesimpulannya, disleksia bermakna menderita kesukaran yang berhubungan dengan kata atau simbol-simbol tulisan.
Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.
CIRI-CIRI PENGIDAP DISLEKSIA
1.Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
2.Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
3.Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
4.Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'p' dan 'p' dianggap 'q'.
5.Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
6.Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
7.Sering berlaku di kalangan lelaki.
8.Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
9.Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.
PUNCA-PUNCA DISLEKSIA
Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.
Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.
RAWATAN
Disleksia hanya dapat dikesan apabila beberapa ujian dilakukan ke atas pesakit di bawah pengendalian ahli psikologi atau guru khas disleksia. Penyakit ini boleh dirawat tetapi tidak boleh diubati. Penghidap disleksia lazimnya akan diberi rawatan secara terapi untuk meningkatkan kemahiran linguistik, berfikir, dan sosial.
No comments:
Post a Comment